47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi bukan bermotifkan politik - Saksi

Hasimi Muhamad
Mac 19, 2021 17:40 MYT
Pihak pendakwaan hari ini telah menutup kes Ahmad Zahid setelah mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan - Foto Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa 47 pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi adalah tidak bermotifkan politik.
Saksi pendakwaan terakhir, Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau, berkata tuduhan juga tidak dibuat susulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Sebaliknya, tegas saksi pendakwaan ke-99 itu, tuduhan termasuk 12 daripadanya membabitkan pecah amanah difailkan berdasarkan keterangan saksi dan dokumentasi berkaitan yayasan berkenaan.
"Cadangan pegawai penyiasat (terhadap sesuatu kes) adalah berdasarkan keterangan yang ada, berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang ada. Bukan bermotifkan politik atau perkara-perkara lain," katanya memberitahu mahkamah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada hari ke-53 prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Ditanya adakah siasatan SPRM dibuat bertujuan menjatuhkan reputasi Presiden UMNO itu, Khairudin berkata: "Tidak sama sekali".
Selain itu, Khairudin turut tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa pelantikan Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi dibuat susulan kecuaian bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly menguruskan beberapa keping cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kad kredit milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Sepanjang siasatan saya, tiada sebarang keterangan lisan atau dokumen yang menunjukkan Lewis & Co dilantik sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi," katanya.
Pertuduhan tidak berasas?
Semasa sesi pemeriksaan balas, peguam bela Hisham Teh Poh Teik mencadangkan kepada Khairudin bahawa pertuduhan yang dikenakan kepada Ahmad Zahid langsung tidak mempunyai asas dari segi fakta dan undang-undang.
Bagaimanapun, Khairudin tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
HISHAM: Setuju tak kalau saya katakan pihak SPRM bermakna pihak Tuan Din (Khairuin) telah mencadangkan kepada pejabat Peguam Negara untuk kemukakan 47 pertuduhan?
KHAIRUDIN: Sebagai pegawai penyiasat, setuju saya mencadangkan.
HISHAM: Adakah awak cadangkan semua 47 pertuduhan?
KHAIRUDIN: Bukan, untuk saya 12 pertuduhan sahaja.
HISHAM: Saya katakan sebenarnya 47 pertuduhan termasuk 12 CBT (pecah amanah) langsung tidak ada asas dari segi fakta-fakta atau undang-undang?
KHAIRUDIN: Tidak setuju, Yang Arif.
HISHAM: Anda adalah pegawai penyiasat kepada 12 CBT, betul?
KHAIRUDIN: Betul, Yang Arif.
Dalam masa yang sama, Khairudin bersetuju dengan cadangan Hisham bahawa wang yang dimasukkan ke akaun 'client' Lewis & Co adalah milik syarikat guaman itu dan ia tidak masuk ke poket Ahmad Zahid.
HISHAM: Kalau hak milik wang tersebut adalah 'client' dalam akaun Lewis & Co, saya katakan langsung tidak ada pecah amanah, setuju atau tidak?
KHAIRUDIN: Tidak setuju.
HISHAM: Oleh sebab itu saya katakan caj (tuduhan) ini bersama tuduhan-tuduhan lain langsung tidak ada asas dari segi fakta dan undang-undang. Setuju atau tidak?
KHAIRUDIN: Tidak setuju.
Terdahulu, pihak pendakwaan telah menutup kes Ahmad Zahid setelah mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.
BACA: Pendakwaan tutup kes Zahid Hamidi selepas panggil 99 saksi
Hakim Collin memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Mei 2021 dan mengemukakan jawapan balas pada 11 Jun ini.
Mahkamah turut menetapkan 28, 29, 30 Jun dan 1 hingga 2 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.
#Zahid Hamidi #SPRM #UMNO #kes rasuah #PRU14 #pecah amanah #Khairudin Kilau #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur #Hisham Teh Poh Teik #Datuk Raja Rozela Raja Toran
;