47 PATI warga Myanmar ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

Astro Awani
Jun 18, 2022 19:36 MYT
Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Astro AWANI
BUKIT KAYU HITAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata, kesemua PATI itu ditahan pada jam 5.45 pagi ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah yang dalam Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
“Pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang bersembunyi berhampiran laluan jalan tidak berturap dalam kebun getah.
“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua 47 orang PATI,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati PATI masuk melalui pagar sempadan yang dirosakkan dan kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta berumur antara 15 hingga 49 tahun terdiri daripada 40 lelaki dan tujuh perempuan.
“Turut dirampas 34 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM27,608,” katanya.
Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#pati #warga myanmar #Sempadan Negara #Bukit Kayu Hitam
;