47 parah, 166 cedera ringan LRT bertembung berhampiran Stesen KLCC
Fareez Azman
Mei 24, 2021 23:35 MYT
Mei 24, 2021 23:35 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC malam ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua mereka sudah dikeluarkan dan dihantar ke hospital.
"Kejadian ini membabitkan tren dari Gombak dipandu secara automatik membawa 213 orang penumpang dengan sebuah lagi tren dari Kampung Baru iaitu tren kosong yang mempunyai pemandu.
"Kita dapati mungkin berlaku kegagalan komunikasi dan ini adalah kemalangan... kami masih menyiasat jika ia adalah (berpunca daripada) kecuaian kerana melibatkan kecederaan awam," katanya pada sidang media sebentar tadi.
Insiden LRT | 47 penumpang dipercayai cedera parah, 166 cedera ringan
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tren yang dari Kampung Baru ke Gombak adalah tren yang mengalami kerosakan dan sedang dipandu uji ketika kejadian berlaku.
Beliau berkata, tiada sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan unsur sabotaj dalam kejadian berkenaan buat masa ini.
Bagaimanapun, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai punca kejadian.
“Kita masih jalankan siasatan bagaimana pertembungan ini berlaku, difahamkan tren dari Kampung Baru ke Gombak adalah rosak dan mereka melakukan pandu uji di trek sebenar.
“Dalam kejadian ini, kita dapati mungkin berlaku masalah komunikasi di Pusat Kawalan LRT, jadi kita akan siasat sejauh mana berlaku breakdown.
“Ini satu kemalangan, kita akan jalankan siasatan mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010 jika berlaku kecuaian dan sebagainya kerana ia melibatkan kepentingan awam,” katanya lagi.
Penumpang cedera, LRT Kelana Jaya terbabit dalam kemalangan
Sementara itu, sebahagian daripada mangsa kemalangan itu dibawa keluar melalui sebuah pusat beli belah berhampiran.
Sehingga jam 10 malam tadi, puluhan ambulans dihantar ke lokasi kejadian bagi membawa mangsa mendapatkan rawatan.
Pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi itu antara lain adalah pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC dan Kampung Baru malam ini.
Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, terdahulu berkata perkhidmatan LRT yang terbabit kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81.