467 KRT di Kelantan siap siaga hadapi banjir

Muhafandi Muhamad
September 27, 2022 09:15 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan negara akan menerima taburan hujan yang lebih tinggi pada pertengahan bulan November berbanding bulan-bulan lain. - Foto fail/Astro AWANI
GUA MUSANG: Sebanyak 467 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri Kelantan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri Kelantan, Shahrani Yusoff berkata, skuad KRT akan diaktifkan bagi membantu agensi keselamatan yang terlibat sekiranya berlakunya bencana banjir di kawasan mereka.
Menurutnya, skuad itu juga akan terus giat memantau keadaan semasa kawasan dilanda banjir di negeri ini bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.
"Untuk musim tengkujuh ini kita di KRT ada satu unit skuad yang berperanan membantu agensi-agensi yang terlibat sekiranya ada berlakunya bencana banjir.
"Jadi kita di peringkat KRT ni akan membantu pada agensi berkenaan seperti perkhidmatan akan membantu pemindahan mangsa-mangsa dan dari segi agihan makanan dan membantu di pusat-pusat pemindahan yang diwujudkan," katanya.
Shahrani turut menasihatkan penduduk di kawasan mudah banjir agar berjaga-jaga sepanjang masa bagi menghadapi musim tengkujuh.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah menjangkakan bahawa negara akan menerima taburan hujan yang lebih tinggi pada pertengahan bulan November berbanding bulan-bulan lain yang mana boleh menyebabkan berlakunya banjir di banyak kawasan.
#banjir #KRT #monsun timur laut #Shahrani Yusoff
;