46 gerai di Pasar Dato Keramat terbakar
Fareez Azman
Mac 17, 2021 19:21 MYT
Mac 17, 2021 19:21 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 46 gerai yang kebanyakannya sederet di Pasar Dato Keramat di ibu negara musnah dalam satu kebakaran di sini, pada Rabu.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada kira-kira jam 5.26 petang.
“Beberapa pasukan operasi jentera digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dan bantuan daripada BBP Setapak, BBP Wangsa Maju dan BBP Hang Tuah,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Turut dikerahkan ke lokasi kejadian lima buah jentera FRT, empat buah EMRS, dua buah lori tangki air dan sebuah jentera ALP (Aerial Ladder Platform) dengan kekuatan 58 orang anggota.
Ketika kejadian itu, puluhan orang awam termasuk peniaga dan pelanggan di pasar berkenaan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila deretan gerai di kawasan itu disedari terbakar.
Kebakaran yang menyebabkan asal tebal berwarna hitam yang boleh dilihat sejauh beberapa kilometer itu, turut disertai beberapa letupan kecil dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Api dipercayai marak dengan cepat disebabkan keadaan cuaca kering dan berangin, kata beberapa peniaga serta pelanggan yang berada di kawasan berkenaan.
#Pasar Dato Keramat
#kebakaran
#operasi
#bomba
#kedai
#BBP Keramat
#BBP Setapak
#BBP Wangsa Maju
#BBP Hang Tuah