46 anak penyu karah diselamatkan orang awam di Port Dickson

Bernama
Oktober 3, 2021 08:44 MYT
Susulan insiden itu, JPNS bersama seorang pemungut telur penyu berdaftar di Port Dickson menjalankan pemeriksaan terhadap sarang penyu di lokasi tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Sebanyak 46 anak penyu karah yang baru menetas ditemukan berkeliaran di pesisiran pantai Batu 3, Jalan Pantai Bagan Pinang, Port Dickson sebelum diselamatkan orang awam semalam, kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Halimi Abu Hanip.
Beliau berkata anak penyu yang sedang mencari arah ke laut itu ditemukan individu dikenali sebagai Abd Jamil dan keluarganya yang sedang beriadah di lokasi berkenaan pada kira-kira 11 pagi.
"Tindakan pantas beliau (Abd Jamil) mengutip lebih kurang 46 anak penyu yang masih hidup dan dilepaskan sendiri ke laut amat terpuji dalam usaha segera bagi menyelamatkan haiwan itu.
"Memang biasanya anak penyu akan keluar sarang untuk ke laut. Penyu bertelur sepanjang tahun dan lazimnya pada Mac hingga September adalah paling kerap dan ini adalah kejadian ketiga anak penyu yang baharu menetas ditemukan orang awam pada tahun ini, dengan terbaharu pada 11 Sept lepas," katanya kepada Bernama.
Susulan insiden itu, Halimi berkata JPNS bersama seorang pemungut telur penyu berdaftar di Port Dickson, Hishamudin Abd Manap menjalankan pemeriksaan terhadap sarang penyu di lokasi tersebut dan menjumpai dua anak penyu yang mati di dalam pasir serta 48 biji telur penyu yang masih belum menetas.
Beliau berkata semua telur berkenaan dibawa ke hatcheri Glory Beach Resort, Port Dickson untuk dieramkan sekali gus bagi memulihara spesis penyu agar populasinya tidak diancam kepupusan terutama kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Halimi berkata JPNS akan segera memasang papan tanda di kawasan pantai bagi memberi peringatan kepada orang awam supaya terus melaporkan sebarang penemuan hidupan itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
"Orang awam juga diminta untuk terus hubungi JPNS melalui laman Facebook kami, kita mohon jangan ambil penyu berkenaan kerana kesalahan mengambil telur penyu boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan," katanya.
Sementara itu, Hishamudin berkata beliau mengetahui mengenai kejadian berkenaan melalui Facebook Live yang dibuat oleh Abd Jamil sebelum melaporkannya kepada JPNS.
"Saya harap sesiapa yang jumpa terus laporkan sebab kadang-kadang apabila orang awam jumpa (anak penyu), mereka tidak tahu prosedur sepatutnya yang perlu dilakukan, kita khuatir kejadian lebih buruk berlaku termasuk anak penyu berkenaan mungkin akan mati," katanya.
-- BERNAMA
#anak penyu karah #Port Dickson #halimi abu hanip #Jabatan Perikanan Negeri Sembilan #telur penyu
;