451 aduan berkaitan babi hutan di Selangor - Perhilitan
Bernama
Mac 8, 2018 17:24 MYT
Mac 8, 2018 17:24 MYT
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima 451 aduan mengenai konflik hidupan liar membabitkan babi hutan di Selangor sejak 2012 sehingga tahun lepas.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 69 aduan adalah di kawasan Sungai Buloh.
"Berdasarkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), hidupan liar yang menjadi bahaya serta-merta terhadap nyawa manusia boleh dibunuh dan seterusnya perlu dilapor kepada Perhilitan," katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas insiden seekor babi hutan memasuki masjid di Kampung Sungai Plong, Sungai Buloh dua hari lepas sehingga mencederakan seorang jemaah.
Beliau berkata Perhilitan mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung berkenaan kerana mengambil tindakan pantas dengan menembak babi hutan yang menyerang dan mendatangkan bahaya terhadap nyawa manusia pada waktu itu.
Menurutnya Perhilitan Selangor telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan susulan terhadap insiden itu.
Abdul Kadir berkata Perhilitan Selangor telah menjalankan lima operasi membasmi babi hutan di kawasan Sungai Buloh pada Januari dan Februari tahun ini.
"Dalam tempoh tersebut, sebanyak lapan ekor babi hutan ditembak dan dilupuskan oleh Perhilitan," katanya.
Menurutnya Perhilitan akan menjalankan operasi bersepadu di kawasan berkenaan dalam masa terdekat sebagai tindakan pencegahan dan mitigasi konflik antara hidupan liar dan manusia di kawasan tersebut.
-- BERNAMA