450 lokasi Program Jualan Rahmah sepanjang Ramadan - Armizan
Sinar Harian
Mac 10, 2024 12:48 MYT
Mac 10, 2024 12:48 MYT
PAPAR: Sebanyak 450 lokasi Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan akan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan makanan dan keperluan rumah yang lebih murah dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementeriannya mengambil inisiatif memperluaskan program baharu itu di bawah agenda Payung Rahmah Madani melalui pelaksanaan PJR tersebut bermula pada 1 Ramadan.
"Dalam PJR Ramadan ini, kita masih mengamalkan konsep barang yang ditawarkan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.
"Selain itu, perlaksanaan program ini turut menumpukan jualan barang basah keperluan untuk memasak dan juga barang yang diperlukan untuk bulan Ramadan dan seterusnya menghadapi hari raya seperti tepung, daging, ikan dan ayam," katanya selepas melancarkan PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, bekalan produk tersebut adalah melibatkan kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Kita akan bekerjasama dengan mereka bagi mendapatkan bekalan barang basah tersebut. Jadi dengan kerjasama ini kita dapat membantu khususnya golongan sasar mendapatkan barangan kering dan basah serta barang untuk persiapan membuat kuih dan sebagainya.
"Kita berharap semua masyarakat supaya melayari atau menyemak jadual 450 lokasi siri PJR Ramadan melalui pautan laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui lokasi program ini.
"Sasaran kita juga dalam satu parlimen sekurang-kurangnya dua siri PJR Ramadan dan di Sabah ada 25 Parlimen jadi ada 50 PJR Ramadan kita laksanakan," katanya.
Katanya lagi, sepanjang Ramadan ini terdapat dua program utama yang dilaksanakan KPDN iaitu PJR Ramadan dan juga bazar Ramadan.
"Program bazar Ramadan saya telah minta Timbalan Menteri KPDN membuat perasmian dan mengumumkan apa intipati atau pengisian program tersebut," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian