45 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Tawau

Bernama
Mac 6, 2024 21:03 MYT
Sebanyak 45 rumah yang dibina di atas air musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond petang ini. - Foto Sinar Harian
TAWAU: Sebanyak 45 rumah yang dibina di atas air musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di sini petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata anggaran keluasan kawasan kebakaran itu membabitkan 9,000 meter persegi.
"BBP Tawau menerima panggilan kecemasan pada 2.31 petang dan 44 pegawai serta anggota bomba bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian terletak 4.1 kilometer dari BBP Tawau.
"Operasi pemadaman dilakukan dengan tiga aliran pancutan (hos) menggunakan sumber air daripada jentera bomba, pili bomba serta air laut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Jemishin tiada kematian dilaporkan dalam kebakaran itu.
Beliau berkata kebakaran dapat dikawal pada 4.31 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, ketika dihubungi pemberita Jemishin berkata siasatan awal mendapati sebanyak 180 mangsa terkesan akibat kejadian kebakaran di kampung berkenaan.
"Kampung ini ada kira-kira 300 rumah, walaupun api berjaya dikawal pihak bomba masih memantau keadaan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mangsa, penduduk kampung dan orang ramai supaya tidak pergi ke kawasan kejadian pada masa ini sebagai langkah keselamatan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
-- BERNAMA
#kebakaran #rumah atas air #Tawau #Kampung Tanjung Batu Laut Logpond
;