45 daerah seluruh negara belum ada premis APM sendiri - Armizan
Bernama
Julai 4, 2023 05:15 MYT
Julai 4, 2023 05:15 MYT
KOTA KINABALU: Sebanyak 45 daerah di seluruh negara masih belum mempunyai premis Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sendiri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, kebanyakannya melibatkan APM daerah di Sabah dan Sarawak yang terpaksa menumpang di premis lain, malah ada yang terpaksa beroperasi dari rumah kakitangan APM itu sendiri.
Katanya, setakat ini, sebanyak 160 daerah sudah memiliki premis APM dan sebagai urus setia di peringkat daerah, semua APM daerah perlu mempunyai premis sendiri untuk beroperasi kerana memiliki aset-aset yang melibatkan pengurusan bencana.
"Ini antara fokus sama ada kita melaksanakan melalui pembinaan (bangunan), kalau tidak pun peruntukan itu tidak serta-merta untuk membina pejabat, kita mencari premis-premis kerajaan sama ada Persekutuan atau negeri yang boleh kita tempatkan pegawai dan kakitangan APM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Bengkel Penyelarasan Operasi dan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di sini, pada Selasa.
Armizan berkata, alternatif lain adalah melalui kerjasama dengan pihak swasta agar dapat meminjamkan premis mereka bagi menempatkan anggota APM di daerah masing-masing.
Mengulas mengenai pengurusan makanan semasa bencana, Armizan berkata, di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), perkara itu ialah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Pegawai Daerah masing-masing bagi menyediakan makanan selamat, bersih dan mencukupi kepada mangsa bencana.
Beliau berkata, dari aspek peruntukan, kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebelum disalurkan kepada kerajaan negeri bagi memudahkan bantuan diberikan kepada mangsa bencana.
"Masih ada rungutan, kadang-kadang ada rakyat sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) melalui perjalanan yang berliku, apabila sampai di (PPS) makanan terlewat. Tetapi kita tidak boleh juga salahkan JKM kerana untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dalam keadaan yang kritikal memang sukar," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Armizan menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana termasuk di peringkat daerah sentiasa mengadakan persiapan awal bagi menghadapi bencana yang tidak diduga.
Beliau berkata, semua wakil rakyat tidak mengira fahaman politik turut dilibatkan dalam pengurusan bencana jawatankuasa daerah agar masing-masing memahami struktur pengurusan bencana itu dilaksanakan.
"Sekiranya kita gagal dalam mengurus bencana bermula dalam proses mitigasi dan prabencana, kerugian dan malapetaka yang timbul mungkin jauh lebih besar, bukan hanya rugi dalam konteks berbelanja lebih besar, malah mungkin juga kehilangan nyawa," katanya. - BERNAMA