45 anak yatim, asnaf teruja dapat beli baju raya baharu
Azee Shafy
April 18, 2022 11:40 MYT
April 18, 2022 11:40 MYT
KUANTAN: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 45 anak-anak yatim dan asnaf apabila mereka dibawa oleh Pertubuhan Amal Tiara Kasih Kuantan (PATiK) untuk membeli baju raya di gedung tekstil terkenal, Jakel Kuantan di sini.
Mereka diberikan kebebasan untuk memilih baju Melayu beserta samping dan songkok bernilai RM120 setiap seorang mengikut warna yang mereka gemari.
Mohd Muntazar Ahmad Shahir, 10 berkata, perasaannya bercampur baur kerana pada ketika ini, dia bersama dua lagi adiknya diberikan baju raya baharu, namun berasa sedih mengenangkan adik-adiknya yang lain di kampung.
"Saya bersyukur dan gembira sebab dapat baju baharu. Tapi, bila mengenangkan adik beradik lain di rumah, saya sedih. Tak tahu lah ada baju baharu atau tidak.
"Tapi, apa pun saya harap, mak dan ayah boleh jemput kami untuk beraya di rumah. Kalau boleh nak bersama dengan keluarga di pagi raya," katanya.
Mohd Muntazar berkata, dia dan dua lagi adiknya, Muhammad Taat, 9, dan Muhammad Fitri Al-Ikhwan, 7, dihantar ke Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang sejak tahun lepas.
Sementara itu, Muhammad Humam Daqiqi Firdaus, 12, berkata dia terharu menerima sumbangan baju raya tahun ini, sekali gus memeriahkan suasana raya kali ini.
"Saya suka sangat apabila dibawa datang sini, boleh pilih baju Melayu sendiri. Saya bersyukur kerana ada yang ambil tahu pasal kami.
"Cuma saya harap, saya boleh bawa balik baju baharu ini untuk tunjuk kepada keluarga, supaya dapat beraya bersama keluarga," katanya.
Sejumlah RM5,500 diperuntukan Pertubuhan Amal Tiara Kasih Kuantan (PATiK) dan The Green Valley Plantation Management Sdn Bhd (TGVY) bagi menjayakan Program Pembelian Baju Raya Anak-anak Yatim dan Asnaf Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang, semalam.
Sementara itu, Ketua Penjaga Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang, Muhamad Mu'izuddin Abdullah Hashim berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada 85 orang anak yatim dan asnaf di bawah jagaannya.
"Alhamdulillah. Tahun ini, kami menerima sumbangan daripada PATiK dan Green Plantation untuk kanak-kanak lelaki, manakala untuk kanak-kanak perempuan pun ada juga terima tapi daripada NGO lain.
"Apabila tengok anak-anak ini gembira terpancar pada wajah mereka, saya bersyukur sangat-sangat. Itu sudah memadai pada saya kerana mereka juga dapat menyambut Syawal seperti orang lain," katanya.
Pengerusi PATiK, Tunku Zaza Faranaz Tunku Datuk Ismail memberitahu, program ini merupakan program kedua yang dilaksanakan mereka, dan pemilihan penerima adalah berbeza setiap tahun.
Katanya, program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan akan memperuntukan sekurang-kurangnya RM5,000 bagi pembelian baju raya.