444,120 laporan polis diterima sepanjang tahun 2022

Hilmi Malik
Februari 2, 2023 12:10 MYT
AZMI: Peningkatan itu merupakan angka yang positif dan keyakinan masyarakat terhadap anggota polis yang semakin meningkat. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Sebanyak 444,120 jumlah keseluruhan laporan yang diterima polis Kuala Lumpur merangkumi pelbagai bentuk aduan sepanjang tahun 2022.
Angka itu juga menyaksikan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 374,588.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, angka berkenaan meliputi aduan membabitkan kesalahan trafik, jenayah, narkotik dan komersial.
“Ini merupakan peningkatan yang baik kerana bagi saya ia merupakan satu bentuk keyakinan masyarakat terhadap polis membuatkan mereka terpanggil untuk buat laporan.
“Sebanyak 60 peratus laporan diterima diklasifikasi sebagai laporan yang dirujuk kepada agensi lain serta tindakan pentadbiran seperti kes kematian semula jadi, manakala 40 peratus laporan diterima dirujuk dengan elemen siasatan," katanya ketika sidang media sempena Himpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Ujarnya lagi, 86,409 kertas siasatan dibuka melibatkan membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah itu juga, 79,621 kes telah pun dituduh di mahkamah dan jumlah itu turut menyaksikan peningkatan sebanyak 25,660 kes berbanding tahun sebelumnya.
"Kita memperoleh kadar pertuduhan serta pendakwaan yang tinggi di mahkamah berbanding kontinjen lain.
"Selain itu, tindakan pencegahan membabitkan elemen mendidik masyarakat mengenai kesedaran jenayah juga dilaksanakan Polis Kuala Lumpur dengan 63,560 program dijalankan sepanjang tahun lalu," katanya lagi.
#Kuala Lumpur #Ketua Polis Kuala Lumpur #Datuk Azmi Abu Kassim #laporan polis
;