44 pelajar kolej, pemandu terselamat bas persiaran terbakar
Aida Aziz
September 10, 2022 18:15 MYT
September 10, 2022 18:15 MYT
GERIK: Seramai 44 pelajar dan seorang pemandu terselamat selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbakar di Kilometer 395, Jalan Gerik, Tasek Banding, di sini hari ini.
Difahamkan kejadian yang berlaku tengah hari tadi itu membabitkan bas persiaran yang membawa pelajar Kolej Matrikulasi Changlun, Kedah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.05 petang.
Menurut kenyataan itu lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan bas persiaran yang membawa pelajar Kolej Matrikulasi Changlun, Kedah.
"Seramai 44 pelajar dan pemandu dalam keadaan selamat dan semua mangsa keluar dengan sendiri dari kenderaan tersebut.
"Bas berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan ke kolej berkenaan di Kedah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya lagi, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Katanya, anggota bomba menggunakan satu aliran 'hose' 100 kaki, satu pancutan bersumberkan air dari pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadam.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nizam Zakaria itu tamat pada jam 3.48 petang.