44 Orang Asli di Perak peluk Islam
Bernama
April 21, 2016 08:31 MYT
April 21, 2016 08:31 MYT
"Saya mendalami Islam dari rakan-rakan sejak di bangku sekolah dan hari ini berpeluang untuk mengucap kalimah syahadah," kata seorang penduduk Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Makmur, Ulu Kinta semalam.
Nor Laili Osaman, 21, adalah antara 44 anggota masyarakat Orang Asli dari daerah Kinta dan Tapah yang memeluk Islam pada Program Kembara Syahadah dan Majlis Pengislaman masyarakat Orang Asli yang berlangsung di perkampungan itu.
Anak sulung dari lima beradik itu berkata dia pernah mengikut rakan-rakannya yang beragama Islam mendengar ceramah agama selain keluar beraya bersama mereka.
"Dalam keluarga hanya saya seorang yang memilih untuk memeluk Islam, namun ibu bapa dan ahli keluarga yang lain amat menghormati keputusan saya," katanya kepada pemberita.
Bagi Muhamad Rusdi, 42, beliau tidak merasakan keputusan memeluk Islam telah terlewat, malah bersyukur dan menganggap ia hidayah tidak terhingga dari Allah.
"Ramai orang kampung di sini sudah memeluk Islam, lama kelamaan saya terikut-ikut apa yang mereka lakukan dan apa yang saya pilih ini saya anggap bahawa Allah mahu membawa saya ke jalan yang benar," katanya.
Program pengislaman Orang Asli melibatkan pelbagai peringkat umur dan jantina itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzillah Abd Halim dengan disaksikan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Razali Shahabuddin.
Razali berkata program itu dilaksanakan bertujuan untuk mendekati masyarakat Orang Asli disamping merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara agensi dan masyarakat pribumi itu.
"Kita turun padang, mengenal pasti permasalahan dan mendekati masyarakat Orang Asli di sini dan Alhamdulillah kita dapat menyedarkan Orang Asli khususnya yang beragama Islam untuk mereka lebih mendekatkan diri dengan Allah," katanya.
Menurutnya, pada tahun lalu JAIPk telah mengislamkan 535 anggota masyarakat Orang Asli di seluruh negeri Perak.
Program selama dua hari mulai semalam itu adalah kerjasama antara JAIPk dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Syarikat Korporat UMW Holdings Sdn Bhd.
Program itu turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong, bacaan al-Quran, persembahan nasyid, kuiz dan penyampaian sumbangan serta zakat berjumlah RM50,000 oleh UMW Holdings Sdn Bhd kepada 45 ketua isi rumah.