44 kes Omicron dikesan di Sarawak, berwaspada menjelang sambutan Tahun Baharu Cina

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 15, 2022 15:39 MYT
Hasil penjujukan genom dilakukan pihaknya, terdapat penambahan 36 kes pada Januari 2022 berbanding lapan kes dikesan pada Disember tahun lalu.
KUCHING: Sarawak merekodkan 44 kes COVID-19 melibatkan varian Omicron, dedah Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) UNIMAS.
Pengarah IHCM UNIMAS, Profesor Dr David Perera berkata, hasil penjujukan genom dilakukan pihaknya, terdapat penambahan 36 kes pada Januari 2022 berbanding lapan kes dikesan pada Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat Sarawak untuk mempertingkatan kewaspadaan dan memastikan pematuhan SOP COVID-19 berada pada tahap tertinggi sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.
"Majoriti kes varian Omicron melibatkan penyebaran dalam komuniti dan 36 kes yang dikesan pada Januari tahun ini melibatkan bahagian Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit.
"Varian Omicron ini samgat cepat tersebar, justeru orang awam digesa untuk tingkatkan tahap kewaspadaan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang. Garis Panduan (SOP) COVID-19 perlu dipatuhi pada tahap tertinggi dan jika boleh elakkan mengadakan perjumpaan dalam komuniti untuk mengekang penyebaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan terkini IHCM merangkumi bulan Disember 2021 hingga 11 Januari 2022 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah pada Sabtu.
Selain itu, jelas Dr David, IHCM juga telah berjaya melakukan penjujukan genom terhadap 262 sampel dalam tempoh yang sama yang mana varian Delta masih direkodkan sebagai varian yang dominan pada Disember 2021 dengan 212 kes dan enam kes pada Januari ini.
Dalam pada itu, Dr. David turut menasihatkan orang awam yang belum mendapatkan suntikan penggalak untuk berbuat demikian dengan segera.
“Kajian menunjukkan bahawa pengambilan dos penggalak ini perlu untuk meningkatkan antibodi dan melindungi individu daripada jangkitan Omicron," katanya.
Terdahulu, SOP terkini sambutan Tahun Baru Cina yang dikeluarkan JPBN Sarawak membenarkan aktiviti kunjung-mengunjungi diadakan hanya untuk ahli keluarga terdekat sahaja dengan kapasiti 50 peratus mengikut saiz rumah dan perkarangan rumah.
Perjumpaan keluarga di hotel atau restoran juga hanya untuk ahli keluarga terdekat sahaja dan mematuhi SOP Sektor Makanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan & Kerajaan Tempatan.
Sementara beberapa aktiviti tidak dibenarkan antaranya rumah terbuka, aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, tarian singa dan hanya dibenarkan oada hari pertana sahaja.
#IHCM Unimas #Dr David Perera #varian omicron #Sarawak
;