44,400 pelajar terima manfaat program CSR YPM
Hilmi Malik
Januari 5, 2021 17:55 MYT
Januari 5, 2021 17:55 MYT
MERSING : Seramai lebih 40,000 pelajar menerima manfaat daripada Program Back To School anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sebagai bantuan sesi awal persekolahan yang disampaikan pada 3 Januari lalu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mersing, Johor.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abd Latiff Ahmad berkata, program berkenaan mensasarkan pelajar miskin termasuk mereka bagi kategori B40 di seluruh negara yang bertujuan membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar.
“Antara objektif lain termasuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan luar bandar bagi mengikuti sesi persekolahan.
“Bagi tahun 2020, 31,758 orang pelajar terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah yang dikenal pasti menerima manfaat dari program ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM1,809,858.60.
“Bagi tahun 2021, YPM mensasarkan penerima sumbangan seramai 44,400 orang pelajar di seluruh negara dan akan menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan RM2,664,000.00,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, kerajaan turut berusaha membantu golongan pelajar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi beberapa pengisian program pendidikan di daerah Mersing, Johor yang julung kali diadakan melibatkan 500 orang pelajar dari 36 buah sekolah.
Menerusi insiatif itu, sumbangan turut disampaikan antaranya sumbangan wang tunai termasuk bantuan awal persiapan persekolahan yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.