44,379 anak Pahang terima Biasiswa Yayasan Pahang

Azee Shafy
Mac 8, 2023 18:50 MYT
Wan Rosdy (tengah)menghadiri Majlis Penyerahan Biasiswa Pahang (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) Tajaan Yayasan Pahang Sesi Persekolahan Tahun 2023 di Majlis Perbandaran Bentong. - Foto Astro AWANI
BENTONG: Seramai 44,379 pelajar anak Pahang menerima bantuan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang sempena sesi persekolahan 2023 yang akan bermula 20 Mac ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Yayasan Pahang memperuntukkan RM20.2 juta bagi tujuan berkenaan.
Menurutnya, penerima Biasiswa Pahang (Sekolah Rendah) bermula sejak tahun 2002 akan menerima RM300 setahun manakala Biasiswa Pahang (Sekolah Menengah) yang bermula tahun 1963 menerima RM600 setahun yang dibayar secara dua fasa.
"Pada tahun ini seramai 21,204 murid bermula dari tahun 4 hingga tahun 6 bagi sekolah rendah telah menerima bayaran biasiswa yang dibayar melalui sekolah masing-masing dengan setiap murid menerima RM300.
"Selain itu, bagi pemberian Biasiswa Pahang Sekolah Menengah, seramai 23,175 orang pelajar bermula dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 6 telah menenerima bayaran biasiswa dan boleh didapati dalam akaun simpanan masing-masing dengan setiap murid menerima RM300. Manakala fasa ke-2 pula akan dibayar pada bulan Ogos nanti juga sebanyak RM300," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Biasiswa Pahang (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) Tajaan Yayasan Pahang Sesi Persekolahan Tahun 2023 di Majlis Perbandaran Bentong.
Sehingga kini, seramai 334,947 murid Sekolah Rendah dan Menengah telah menerima manfaat Biasiswa Pahang sejak ia mula diperkenalkan dengan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM463.7 juta.
"Saya berharap dengan pemberian Biasiswa Pahang ini ia dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam persediaan anak-anak mereka untuk ke sesi persekolahan baharu serta tidak tercicir untuk mendapat pendidikan yang sempurna kerana kedaifan ekonomi keluarga," ujarnya lagi.
#biasiswa Yayasan Pahang #Wan Rosdy Wan Ismail #BSR #BSM
;