43 rakyat Malaysia mangsa sindiket Macau Scam diselamatkan di Peru

Fareez Azman
Oktober 9, 2023 17:10 MYT
Seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru pada 7 Oktober lalu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru pada 7 Oktober lalu.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan media pada Isnin, kesemua rakyat Malaysia itu diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah rumah di La Molina, Lima.
"Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima ingin mengesahkan bahawa 43 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam telah diselamatkan oleh polis Republik Peru pada 7 Oktober 2023.
"Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Lima, pihak polis Republik Peru telah mengadakan satu serbuan di sebuah rumah di La Molina dan kesemua mangsa warganegara Malaysia tersebut telah dikenal pasti dan diselamatkan," jelas kenyataan itu.
Kesemua rakyat Malaysia telah menjalani proses siasatan dan akan dihantar pulang dalam masa terdekat.
"Kedutaan Besar Malaysia di Lima akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan mengenai kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada kesemua mangsa," menurut kenyataan itu.
Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Lima di talian +51-1-422-0297, +51-1-441-1939, +51-1-441-0795 atau
emel ke mwlima@kln.gov.my.
#Wisma Putra #Macau Scam #penyeludupan manusia #rakyat Malaysia
;