43,000 akaun pengguna air terjejas akibat paip rosak di Johor
Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 30, 2022 22:31 MYT
Oktober 30, 2022 22:31 MYT
PASIR GUDANG: Sebanyak 43,000 akaun pengguna air di kawasan Plentong, Masai dan Tanjung Langsat di sini masih terjejas akibat gangguan bekalan air sejak tiga hari lalu
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bilangan terbabit bagaimanapun sudah berkurangan berbanding kira-kira 100,000 akaun sebelum ini.
Katanya gangguan bekalan air itu berpunca akibat kerosakan serentak pada dua batang paip masing-masing bersaiz satu meter (m) dan 1.2 m sedalam kira-kira lapan m di Persiaran Bandar Seri Alam di Masai di sini.
"Kerosakan ini berlaku semasa kerja-kerja pemasangan paip baharu dijalankan di kawasan yang sama.
"Pihak Ranhill SAJ telah melakukan kerja-kerja mengenal pasti lokasi sebenar kerosakan dan proses ini mengambil masa akibat daripada faktor tanah runtuh dan proses mengeluarkan air dari lokasi tempat kerja.
"Operasi pembaikan ini dilakukan secara serius oleh pihak Ranhill SAJ dengan kerja-kerja dilakukan 24 jam sehari sejak tiga hari yang lepas," katanya dalam hantaran di media sosial di sini, hari ini.
Jelas Mohamad Fazli, Ranhill SAJ telah mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan yang terjejas menggunakan 17 lori tangki.
Katanya pengagihan air juga dibantu oleh lima lori tangki pihak swasta, bomba (dua) dan sekurang-kurangnya 14 lori tangki negeri berjiran.
"Terdapat juga pihak NGO yang sudi membantu memberikan khidmat penghantaran air percuma kepada pengguna yang terjejas.
"Bilangan lori tangki akan ditambah dari semasa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembaikan dilakukan.
"Saya jangkakan, keadaan akan pulih seperti sediakala dalam sedikit masa lagi sebaik sahaja kerja-kerja baik pulih selesai dengan mengambil kira jenis kerosakan dan kaedah pembaikan terbaik.
"Diharapkan seluruh pengguna yang terjejas dapat bersabar dan mendoakan kerja-kerja pembaikan ini berjalan dengan lancar serta dapat disiapkan segera. Kami mohon maaf atas kesulitan yang berlaku," katanya.