42 penumpang terselamat dalam kemalangan bas di Simpang Pulai
Nazialita Geynna Maharan
Disember 5, 2015 20:13 MYT
Disember 5, 2015 20:13 MYT
Percutian selama sehari bagi 42 penumpang yang sedang dalam perjalanan menuju ke Seremban bertukar menjadi trauma apabila bas mereka merempuh sebuah lori kontena yang berhenti di tepi jalan berhampiran susur keluar Simpang Pulai pada petang Sabtu.
Suriani Latip, yang merupakan ketua rombongan percutian di Cameron Highland berkata pada ketika itu beliau sedang lena tidur sebelum terjaga akibat dentuman kuat daripada bas itu.
"Waktu itu kami semua sedang penat jadi memang nyenyak tidur tapi sebaik sahaja terdengar dentuman itu, saya terjaga dan tergamam apabila melihat ada di antara rakan-rakan saya berlumuran darah.
"Ada yang cedera di bahagian kepala, kaki dan tangan dan pada masa itu saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat dan keadaan tidak menjadi lebih teruk," katanya kepada ASTRO AWANI.
Suriani berkata beliau tersentak seketika sebelum menyedari ada di antara rakan-rakannya yang lain cuba untuk menenangkan mereka yang trauma dan cedera akibat perlanggaran itu.
Jelasnya, mujur pada ketika itu pihak bomba datang sejurus sahaja rempuhan tersebut berlaku kerana Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai berada berhampiran dengan lokasi kejadian.
"Saya masih lagi agak cemas pada waktu itu,memikirkan mengenai apa yang baru saja terjadi namun anggota bomba datang dan menyuruh kami bertenang dan memindahkan semua penumpang dan dua orang pemandu keluar daripada bas itu.
"Alhamdulilah, tiada yang parah cuma masih trauma dan saya bersyukur saya masih dapat pulang ke rumah sebentar lagi," ujarnya.
Ketua BBP Simpang Pulai,Penguasa Bomba Rozmi Che Mat berkata pihaknya mengambil masa sekitar dua jam bagi keseluruhan operasi dan memastikan kesemua penumpang selamat keluar daripada bas tersebut.
"Ketika pihak anggota sampai, kami mendapati seramai 11 orang penumpang cedera akibat perlanggaran itu dan kesemuanya telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB), Ipoh bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Nasiblah kemalangan ini berlaku di bahagian bawah berhampiran Simpang Pulai dan bukannya di kawasan cerun curam Cameron Highland, kalau tidak mungkin ianya akan menjadi lebih teruk," katanya.
Jelasnya, tiada mangsa didapati tersepit dan dua unit EMRS serta satu unit ambulans telah digunakan untuk membantu melakukan pemeriksaan kesihatan awal bagi operasi tersebut.
Rozmi berkata kesemua penumpang yang selamat telah dibawa ke BBP Simpang Pulai untuk menenangkan sesetengah daripada mereka yang masih trauma sementara menunggu bas bantuan tiba untuk menghantar mereka semua balik ke Seremban.