42 pelajar keracunan makanan selepas jamah mi goreng, air coklat

Adie Sufian Zulkefli
September 9, 2020 09:32 MYT
Antara pelajar yang mengalami simptom muntah serta cirit-birit dan dihantar ke hospital hari ini. -APMM
Seramai 42 pelajar Sekolah Menengah Agama Tasek Junjong di Nibong Tebal mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menjamah mi goreng dan air berperisa coklat di sekolah itu, hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, berkata kesemua pelajar terdiri daripada 30 perempuan dan 12 lelaki mengalami simptom muntah dan cirit-birit.
Katanya, APMM menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi berhubung insiden itu.
"Sebaik tiba ke lokasi, kita mendapati 42 pelajar mengalami simptom muntah dan cirit-birit disyaki disebabkan keracunan makanan.
“Semua pelajar yang terlibat dihantar ke Hospital Sungai Bakap menggunakan ambulans secara berperingkat untuk menerima rawatan. " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa yang menerima rawatan kini dilaporkan stabil.
#air berperisa coklat #APMM #cirit-birit #Hospital #keracunan makanan #mangsa #mi goreng #muntah #pelajar #sekolah