42 pasar segar terkawal FAMA catat nilai jualan RM18.9 juta
Bernama
Jun 7, 2021 14:03 MYT
Jun 7, 2021 14:03 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak 42 Pasar Segar Terkawal (PST) seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merekodkan nilai jualan RM18.9 juta dalam tempoh 25 Mei hingga 4 Jun, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.
Beliau berkata, 42 PST berkenaan memberi ruang kepada 348 petani dan 6,879 usahawan untuk memasarkan produk ketika pelaksanaan PKP, serta dalam masa yang sama memberi akses pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dengan penjimatan antara lima dan 20 peratus.
Ronald berkata setiap PST mempunyai lapan komoditi teras iaitu sayur, buah, ikan, ayam, daging, produk industri kecil dan sederhana (IKS), barangan runcit dan penjualan makanan dibungkus.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena tinjauan di dua lokasi PST iaitu MyFarm Outlet di Putrajaya dan Pusat Operasi FAMA di Dengkil bagi melihat sendiri kelangsungan rantaian bekalan makanan melalui PST yang menawarkan barangan keperluan terutama kepada penduduk setempat ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama yang bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.
"MAFI mengambil pelbagai pendekatan khususnya untuk memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan termasuk mengurus isu lambakan antaranya melalui pelaksanaan PST di lokasi terpilih yang beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara," kata Ronald.
Beliau berkata MAFI akan terus memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan berada dalam keadaan yang mencukupi serta stabil kerana sektor pertanian dan industri makanan diletakkan sebagai perkhidmatan perlu.
Ronald berkata sebanyak 76,869 surat kebenaran telah dikeluarkan MAFI untuk sektor pertanian tidak formal setakat semalam termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada petani, penternak, nelayan, pengusaha kecil B40 serta pengusaha mikro asas tani.
Bagi sektor pertanian formal yang melibatkan syarikat pengilang, pengeluar produk atau industri makanan, pengusaha perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) di bawah selian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), katanya.
Ronald berkata FAMA telah mewujudkan bilik gerakan yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa pelaksanaan sekatan penuh fasa pertama.
Bagi petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian boleh melayari portal FAMA Feedback System di http://ffs.fama.gov.my/aduan/ atau hubungi talian hotline FAMA di 019-7476754/013-3777100/010-7632684.
Sementara itu, petani Zainal Marlan, 42, berkata PST amat membantu para petani ketika tempoh mencabar ini dengan memberi platform untuk berniaga sejak PKP1.0 yang dilaksanakan Mac tahun lalu.
"PST ini dapat memastikan para petani terus berniaga dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerugian kerana hasil tanaman yang rosak ekoran PKP. Ia juga dapat memenuhi kehendak penduduk setempat untuk membeli barangan keperluan tanpa perlu bersesak bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19," katanya ketika ditemui di PST Dengkil.
Menurutnya, walaupun pendapatan kali ini merosot kira-kira 30 peratus berbanding ketika beroperasi pada PKP1.0 memandangkan lebih banyak premis perniagaan serta kedai dibuka, dia mencuba kaedah jualan lain termasuk jualan dalam talian dan perkhidmatan Cash On Delivery (COD).
Bagi petani buah naga, Leo Chen Lun, 38, konsep PST bukan sahaja memberi peluang berniaga kepada petani dan peniaga IKS tetapi turut memudahkan masyarakat mendapatkan barangan dan makanan harian dengan kaedah yang mudah dan selamat.
"Tempat ini terbuka dan luas malah ada pandu lalu untuk pengguna yang membeli secara dalam talian. Cuma PST kali ini nampak agak lembab kerana PKP3.0 ini banyak kedai dan pasar raya dapat beroperasi. Jadi pengguna akan berkurangan tetapi saya juga bekerjasama dengan rakan untuk menjual buah naga dengan penghantaran ke rumah," katanya.
-- BERNAMA
#pasar segar
#FAMA
#PKP
#lockdown
#Pasar Segar Terkawal
#Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
#Ronald Kiandee