414,339 pencari kerja dapat kerja melalui MyFutureJobs

Ridauddin Daud
Disember 8, 2021 12:34 MYT
Awang Hashim berkata, kementerian menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus menambah baik program tersebut dari semasa ke semasa. - Foto Twitter/Awang Hashim
KUALA LUMPUR: Seramai 1.25 juta jumlah pencari pekerja telah didaftarkan dan seramai 414,339 orang pencari kerja telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui MYFutureJobs setakat 12 November 2021.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, meskipun baharu diperkenalkan, pencapaian portal MYFutureJobs perlu dihargai.
Menurutnya, kementerian menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus menambah baik program tersebut dari semasa ke semasa.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH - Setiawangsa) yang bertanya mengapa PERKESO terlibat di dalam skim insuran kenderaan penjawat awam dan MYFutureJobs.
“Bagi meningkatkan dana pelaburan, kerajaan melalui PERKESO telah mengambil langkah untuk melabur dalam skim insuran kenderaan penjawat awam berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 75, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang memperuntukkan wang Pertubuhan yang tidak digunakan dengan segera hendaklah dilaburkan.
“Manakala MYFutureJobs adalah Portal Pekerjaan Nasional yang diperkenalkan untuk membantu majikan dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan.
“Pada 18 Disember 2019, Kabinet telah meluluskan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO untuk melaksanakan peranan Perkhidmatan Pekerjaan Awam untuk semua tenaga kerja yang menggantikan JobsMalaysia,” katanya.
Katanya lagi, MYFutureJobs pula mempunyai mandat untuk menjadi satu Portal Padanan Pekerjaan Nasional yang bertindak sebagai platform pasaran buruh aktif.
“Portal ini adalah terbuka kepada awam dan boleh dilayari secara percuma. Tiada sebarang caj dikenakan kepada pencari kerja dan majikan yang berdaftar dan menggunakan portal MyFutureJobs berbanding penyedia perkhidmatan pekerjaan swasta lain,” ujarnya.
#MyfutureJobs #pencari kerja #Awang Hashim #Kementerian Sumber Manusia
;