41 rangka dipercayai keturunan 'Penang Woman' akan dibawa pulang ke tanah air

Hasimi Muhamad
April 13, 2023 14:03 MYT
Mokhtar memberikan penerangan pada Bicara Arkeologi, Menjejaki Rangka Neolitik Berusia 5,000 hingga 6,000 tahun Dari Guar Kepah ke Leiden, Belanda, di ibu negara hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 rangka manusia yang berada di Muzium Kebangsaan Natuurhistorich Leiden, Belanda dan dipercayai keturunan 'Penang Woman' dijangka dibawa pulang ke tanah air selewat-lewatnya pada Januari tahun depan.
Ketua Arkeologi Negeri Pulau Pinang, Profesor Datuk Mokhtar Saidin berkata Kerajaan Belanda bersetuju menyerahkan rangka berkenaan hasil lawatan kerja Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Mac lalu.
Ia selepas Kerajaan Belanda mengeluarkan notis mengisytihar pemulangan semula artifak ke negara-negara asal pada 2021.
Jelas beliau, rangka-rangka tersebut telah diserahkan dalam empat kotak yang mempunyai kod-kod tersendiri.
Antara yang terkandung dalam kotak tersebut termasuk tulang, gigi, serta tengkorak, yang dipercayai milik individu dewasa, remaja dan kanak-kanak.
“Selepas itu kajian terperinci akan dilaksanakan bagi mengenal pasti antaranya pentarikhan, punca kematian serta diet (pemakanan).
“Sebaik sahaja ia dibawa pulang, kita akan menjalankan analisis khas di bahagian gigi untuk menentukan sama ada ia ada kesan ‘Penang’ atau sebaliknya,” katanya di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada Bicara Arkeologi, Menjejaki Rangka Neolitik Berusia 5,000 hingga 6,000 tahun Dari Guar Kepah ke Leiden, Belanda.
Mengulas lanjut, Mokhtar berkata 41 rangka tersebut dipercayai dibawa ke Belanda pada tahun 1936 dan telah dianalisis antara tahun 1960 dan 1996, masing-masing di Utrecht University dan Muzium Kebangsaan Natuurhistorich.
Ia dikaji oleh dua pengkaji iaitu Teuku Jacob dan Bullbeck.
Mokhtar menambah, 41 rangka tersebut dan 'Penang Woman' iaitu rangka manusia berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan pada 2017 di Guar Kepah akan ditempatkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, yang dijadual siap pada tahun depan.
Beliau berkata, penemuan rangka 'Penang Woman' yang masih ‘in situ’ (berada pada kedudukan asal) bersama 41 rangka dari Belanda merupakan simbol kepelbagaian budaya, kebanggaan negara serta pencapaian besar kepada penyelidikan arkeologi.
Selain itu, ujar Mokhtar ia turut membuka peluang kepada kajian yang lebih mendalam termasuk ruang masa kehidupan neolitik Guar Kepah, teknologi pengebumian, persekitaran kehidupan ras, serta interpretasi keseluruhan yang lebih lengkap.
Pada Ogos 2022, media melaporkan wajah lakaran 'Penang Woman' telah berjaya disiapkan pada 5 Julai tahun lalu.
Lakaran wajah 'Penang Woman' itu dibuat menerusi kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil.
'Penang Woman' adalah objek warisan tidak ternilai dan sangat signifikan bagi tapak arkeologi Guar Kepah serta satu-satunya rangka Guar Kepah iaitu rangka ke-42 yang ditemukan oleh pengkaji Malaysia pada 19 April 2017.
Guar Kepah di Kepala Batas adalah tapak prasejarah pertama di Semenanjung yang digali untuk dikaji sejak 1863.
#rangka manusia #Arkeologi Negeri Pulau Pinang #Penang Woman #Muzium Kebangsaan Natuurhistorich Leiden
;