41 pengetua prestasi cemerlang ditempatkan di sekolah 'harapan'
Kenyataan Media
Oktober 17, 2018 17:12 MYT
Oktober 17, 2018 17:12 MYT
Seramai 41 orang Pengetua Berprestasi Cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah ‘harapan’ di seluruh negara – kumpulan pertama di bawah projek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meningkatkan prestasi sekolah.
Kumpulan sulung ini akan ditempatkan di sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam aspek kepimpinan dan pengurusan sekolah selama tiga tahun.
Sepanjang tempoh itu mereka akan dibantu oleh Pensyarah Pembimbing daripada Institut Aminuddin Baki (IAB). Program rintis yang melibatkan sembilan Pengetua Berprestasi Cemerlang telah memulakan khidmat mereka sejak tahun lalu.
Kesemua Pengetua Berprestasi Cemerlang terbabit menerima Watikah Program Pelonjakan Kepimpinan Sekolah (ProPeks) Kohort 2018 daripada Menteri Pendidikan,Dr Maszlee Malik pada satu majlis yang diadakan di Genting Highlands, hari ini.
Dengan menyifatkan Pengetua Cemerlang itu sebagai “hero anak bangsa”, Dr Maszlee Malik berkata, “penempatan ini merupakan amanah yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan kepada pemimpin sekolah untuk membawa perubahan kepada sekolah berprestasi rendah.”
“Anda adalah hero-hero yang bakal melonjakkan sekolah-sekolah berprestasi rendah, dan melahirkan hero-hero yang cemerlang untuk negara,” kata beliau.
“Tahniah kepada para Pengetua dan Pensyarah Pembimbing yang diberi mandat bagi menjayakan Program Pelonjakan Kepimpinan Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia di seluruh negara,” tambah beliau.
Dr Maszlee Malik berkata, penempatan pengetua-pengetua berprestasi cemerlang di sekolah berprestasi rendah atau sekolah-sekolah mencabar di bawah program ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada kecemerlangan kepimpinan pengetua di sekolah terdahulu.
Katanya, penempatan ini juga merupakan suatu kepercayaan iaitu amanah yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan kepada pemimpin sekolah yang cemerlang dengan harapan yang tinggi agar membawa perubahan yang lebih baik ke sekolah berprestasi rendah.
“Percayalah bahawa anda merupakan individu yang terbaik yang dikenal pasti mampu melakukan tugas yang mencabar ini,” kata beliau lagi.
Kata beliau, jatuh bangun dan kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kualiti dan kecekapan ahlinya, malahan yang lebih penting ialah kualiti kepimpinan organisasi tersebut.
“Dalam konteks sistem pendidikan kita, kepimpinan strategik pada peringkat Kementerian Pendidikan yang mantap perlu disokong oleh kumpulan kepimpinan yang dinamik pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya.
Dr Maszlee Malik juga memberitahu, bagi merealisasikan dasar dan aspirasi pendidikan negara secara langsung dan memastikan kemenjadian murid pada peringkat pelaksanaan, kepemimpinan sekolah yang utuh profesionalismenya dan bersikap transformasional adalah amat penting.
ProPeKS yang mendokong aspirasi Anjakan 5 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk memastikan setiap sekolah dipimpin oleh pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi adalah suatu usaha yang kritikal dalam memastikan setiap anak mendapat pendidikan berkualiti.
Turut hadir pada majlis penyampaian watikah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Jamil Rakon, dan YBrs Mistirine Radin yang kini menjalankan tugas Pengarah Institut Aminuddin Baki.
#Anjakan 5
#Kementerian Pendidikan
#Maszlee Malik
#Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
#PPPM
#ProPeKS