41 lagi pelajar Politeknik Nilai positif COVID-19

Bernama
Disember 15, 2021 10:17 MYT
Sebanyak 41 kes baharu COVID-19 dikesan di Politeknik Nilai hari ini menjadikan keseluruhan 52 kes setakat ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Sebanyak 41 kes baharu COVID-19 dikesan di Politeknik Nilai hari ini menjadikan keseluruhan 52 kes setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata kes tersebut dikesan selepas ujian saringan dilakukan ke atas 440 pelajar di institusi berkenaan.
"Seramai 10 pelajar yang positif dihantar untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Tampin serta seorang menerima pemantauan di hospital manakala selebihnya kuarantin di blok asrama," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, seramai 38 kontak rapat telah diasingkan di blok asrama yang berbeza.
Sebelum ini, seramai 11 pelajar dikesan positif pada 8 Dis lepas melalui ujian saringan bersasar yang dilakukan pada 3 hingga 6 Dis.
-- BERNAMA
#Politeknik Nilai #kes baharu #pelajar #positif COVID-19 #PKRC Tampin