41 ahli keluarga cemas terperangkap insiden kepala air di Kapit

Astro Awani
Februari 12, 2024 14:24 MYT
Pasukan operasi bertindak menyelamatkan semua mangsa dengan memasang tali keselamatan bagi membolehkan mereka menyeberangi sungai berkenaan kerana arus sungai yang deras pada paras kedalaman kira-kira 1.5 meter. -Astro AWANI
KAPIT: Perkhemahan seramai 41 orang daripada sembilan keluarga di tebing Sungai Yong, Bukit Goram, di sini, berakhir dengan suasana cemas apabila mereka terperangkap dalam kejadian kepala air pada Ahad malam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.32 malam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi.
Beliau berkata, dua pegawai polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat semua mangsa terbabit.
Katanya, semua mangsa berasal dari Bintulu dan datang berkhemah di tebing seberang sungai berkenaan sejak Sabtu lalu.
Akibat hujan lebat yang melanda, air sungai naik secara tiba-tiba mengakibatkan kepala air yang deras dan semua mangsa yang berada di situ terperangkap.
Beliau berkata, pasukan operasi bertindak menyelamatkan semua mangsa dengan memasang tali keselamatan bagi membolehkan mereka menyeberangi sungai berkenaan kerana arus sungai yang deras pada paras kedalaman kira-kira 1.5 meter.
Operasi tamat kira-kira jam 9.56 malam dengan semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
#kepala air #Sungai Yong #Bukit Goram #BBP Kapit
;