41.7 peratus guru hadapi cabaran PdPR, MyREF keluar laporan minggu depan
Hasimi Muhamad
Februari 16, 2022 18:12 MYT
Februari 16, 2022 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Satu laporan mengenai pengaruh Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) terhadap kesejahteraan guru di Malaysia dijangka dikeluarkan pada minggu depan.
Kajian yang dijalankan oleh Malaysia Research and Education Foundation (MyREF) itu antaranya memperincikan mengenai kesan PdPR terhadap guru, simptom yang dialami, serta cadangan dalam meningkatkan kesejahteraan para pendidik.
Ia melibatkan 52 peratus guru di kawasan bandar, manakala 48 peratus lagi di kawasan luar bandar.
Berdasarkan kajian tersebut, 41.7 peratus responden yang terlibat menyatakan PdPR secara dalam talian memberi cabaran besar kepada para guru.
Malah, 41.5 peratus turut menyatakan kesukaran mengawal para pelajar semasa Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) dari rumah.
Ini kerana para guru berdepan pelbagai isu termasuk kehadiran, kesukaran memantau disiplin dan tumpuan para pelajar.
Selain itu, para guru yang berusia antara 41 dan 60 tahun menghadapi kekangan terhadap penguasaan teknologi kerana kurang mahir berbanding guru yang lebih muda.
Bagi kesan simptom pula, peratusan tertinggi iaitu 55.3 peratus daripada responden menunjukkan mereka mengalami perasaan resah, gelisah atau tegang.
Ia diikuti 50.5 peratus mempunyai sedikit minat atau keseronokan dalam melakukan kerja-kerja.
Lebih membimbangkan, sebilangan kecil guru mengalami simptom-simptom ke arah gangguan psikologi secara kerap akibat PdPR.
Astro AWANI akan menyiarkan laporan penuh berhubung kajian ini pada minggu depan.