400 peniaga Pasar Besar Siti Khadijah laksana pembayaran tanpa tunai
Bernama
Januari 5, 2022 17:25 MYT
Januari 5, 2022 17:25 MYT
KOTA BHARU: Kemunculan pelbagai varian COVID-19 menuntut banyak pihak termasuk para peniaga kecil dan sederhana (PKS) menukar strategi operasi perniagaan masing-masing agar selamat dan terus berdaya saing.
Sejajar dengan itu, Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Besar Siti Khadijah menyasarkan 400 daripada 1,300 ahlinya akan melaksanakan pembayaran tanpa tunai menerusi aplikasi kod QR dalam urus niaga mereka.
Pengerusi persatuan Ahmad Nazri Che Omar berkata, transaksi pembayaran digital dalam kalangan peniaga dan pelanggan Pasar Besar Siti Khadijah memudahkan urusan jual beli.
"Menerusi program ini, ia dapat memperkasakan pengguna kewangan di lokaliti yang berdaya maju, di samping transaksi lebih selamat daripada jangkitan COVID-19 kerana tiada sentuhan fizikal apabila pembeli membuat pembayaran.
"Pembayaran tanpa tunai ini adalah pertama kali diperkenalkan dalam kalangan peniaga pasar bagi membiasakan mereka berurusan dengan pelanggan semasa menggunakan kemudahan digital," katanya kepada pemberita selepas Program Pembudayaan Pembayaran Norma Baharu Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini.
Program itu merupakan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) Kuala Terengganu dengan kerjasama Bank Islam (M) Bhd Negeri Kelantan, Paynet dan kerajaan Kelantan.
Ia juga melibatkan agensi seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MKPB- BRI), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kelantan Digital.
-- BERNAMA