400 peminjam PTPTN sertai temu duga secara maya anjuran Perkeso

Firdaus Azil
Julai 3, 2020 14:18 MYT
Mohammed Azman berkata, jalinan kerjasama di antara agensi di bawah KPT dan KSM itu diharapkan dapat memberi manfaat dan membantu peminjam PTPTN mendapatkan pekerjaan terutama di waktu yang sukar ini.
Lebih 400 pencari kerja yang terdiri daripada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyertai hari pertama sesi temuduga terbuka yang diadakan secara dalam talian menerusi program ‘Virtual Mini Job Hunt For PTPTN Borrowers’.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mereka adalah antara 11,321 peserta yang telah berdaftar bagi sesi temuduga secara maya bertujuan untuk membantu para graduan khususnya peminjam PTPTN mendapatkan pekerjaan dalam pasaran buruh negara.
“Seramai 20 majikan dari seluruh negara menyertai program ini dengan menawarkan 6,973 kekosongan jawatan.
“Sektor pemborongan dan peruncitan menawarkan kekosongan jawatan paling tinggi iaitu 4,868 kekosongan, diikuti sektor perkhidmatan dengan 623 kekosongan, sektor kewangan dan insurans sebanyak 480 kekosongan dan sektor pembuatan dengan 477 kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siri ceramah webinar yang diadakan pada dua hari pertama Virtual Mini Job Hunt itu, jelasnya lagi, mendapat sambutan yang menggalakkan, di mana 1,000 pencari kerja telah menyertai siri ceramah webinar.
Sesi itu, katanya lagi, disampaikan oleh penceramah berpengalaman mengenai kebolehpasaran pekerjaan seperti Kemahiran Insaniah dan persediaan menghadapi temuduga secara maya, dan Virtual Mini Job Hunt merupakan program kerjasama dua agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) iaitu PTPTN dan Perkeso.
Mohammed Azman berkata, jalinan kerjasama di antara agensi di bawah KPT dan KSM itu diharapkan dapat memberi manfaat dan membantu peminjam PTPTN mendapatkan pekerjaan terutama di waktu yang sukar ini.
“Pada masa yang sama, mereka boleh berdaftar dengan portal carian pekerjaan Perkeso, MYFutureJobs yang boleh membuat padanan yang lebih tepat antara pencari kerja dengan jawatan kosong yang terdapat dalam pasaran,” katanya lagi.
#graduan #JOB HUNT #Mohammed Azman #pekerjaan #perkeso #PTPTN
;