400 parameter data kotak hitam helikopter perlu dianalisis

Bernama
April 23, 2015 17:12 MYT
Sejumlah 400 parameter rakaman data kotak hitam helikopter yang terhempas di Semenyih masih perlu dianalisis. - Aziz Kaprawi
Sejumlah 400 parameter rakaman data kotak hitam helikopter yang terhempas di Semenyih, 4 April lepas yang meragut enam nyawa termasuk Tan Sri Jamaluddin Jarjis, masih perlu dianalisis.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata analisis rakaman data kotak hitam itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua bulan lagi.
"Terdapat 400 parameter lagi yang harus dianalisis dan kami akan hantar ke Paris, Peranchis iaitu negara yang membuat helikopter itu untuk analisis yang lebih mendalam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Rompin di Bandar Tun Razak, Keratong kira-kira 127 kilometer dari Kuala Rompin di sini, hari ini.
Helikopter Dauphin pada masa ini dikeluarkan syarikat Airbus, dan pada asalnya dibangun dan dikeluarkan oleh firma Peranchis ATrospatiale yang kemudian bergabung dengan syarikat multinasional Eurocopter pada 1990-an.
Abdul Aziz berkata manakala laporan interim helikopter itu akan dikeluarkan dalam masa setahun.
Dalam kejadian pada 4 April lepas, Jamaluddin, bekas anggota Parlimen Rompin bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.
Sementara itu, Abdul Aziz turut meminta penunggang motosikal di kawasan luar bandar untuk memakai topi keledar bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
Katanya 6,674 orang maut akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal pada tahun lepas.
Beliau berkata statistik menunjukkan 19 orang meninggal dunia akibat kemalangan pada setiap hari di negara ini.
"Di Pahang sahaja, 539 orang maut sebab kemalangan dan hampir 60 peratus adalah penunggang motosikal", katanya sempena majlis anjuran bersama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.
Sebanyak 300 topi keledar turut diberikan kepada penduduk sekitar Bandar Tun Razak di sini.
#Aziz Kaprawi #Jamaluddin Jarjis
;