400 NGO tuntut bebaskan politik negara daripada rasuah

Sinar Harian
September 9, 2021 11:28 MYT
Nurhayati berkata, berbeza dengan bual bicara biasa, program Politik #MalaysiaTanpaRasuah bakal menampilkan tujuh panel utama yang akan memberi perkongsian dalam gerakan reformasi politik Malaysia. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal menganjurkan pelancaran dan pembentangan besar-besaran untuk mengemukakan beberapa tuntutan serta pandangan rakyat ke arah Malaysia yang bebas cengkaman rasuah.
Program yang mengangkat tema Politik #MalaysiaTanpaRasuah itu bakal diadakan pada 11 September (Sabtu) bermula pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari di platform Facebook Rasuah Busters, Sinar Harian dan semua Facebook gabungan NGO.
Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, gabungan gergasi itu akan bersama-sama membentangkan beberapa tuntutan penting untuk diambil kira oleh kepimpinan negara demi menggerakkan satu gerakan massa dan melahirkan negara Malaysia tanpa rasuah.
Berbeza dengan bual bicara biasa, program Politik #MalaysiaTanpaRasuah bakal menampil tujuh panel utama yang akan memberikan perkongsian mereka dalam gerakan reformasi politik Malaysia.
Kata Nurhayati, antara panel utama yang akan hadir ialah Dr Muhammad Mohan daripada Transparency International-Malaysia (TI-M), Thomas Fann daripada Bersih 2.0 dan Badlishah Sham Baharin daripada Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
Turut menjayakan program itu termasuk Cynthia Gabriel daripada Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Tricia Yeoh dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Tharma Pillai (Undi18).
Selain itu, ia turut menampilkan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters.
Artikel asal di Sinar Harian
#rasuah busters #Nurhayati Nordin #reformasi politik #Malaysia tanpa rasuah
;