400 masyarakat Cina gembira terima BR1M
Bernama
Februari 3, 2013 19:23 MYT
Februari 3, 2013 19:23 MYT
Kira-kira 400 anggota masyarakat Cina di kawasan Sungai Air Tawar di sini hari ini menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 hari ini menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Kesemua mereka yang berkumpul sejak pukul 8.30 pagi bersemangat dan mengukir senyuman sambil menanti giliran menerima BR1M 2.0 bernilai RM500 masing-masing dalam majlis penyerahan di pejabat anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar di Bagan Nakhoda Omar di sini.
Tan Leng Sei, 62, seorang pesara berkata pemberian kali kedua bantuan itu amat dialu-alukan oleh majoriti masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana kerana ia membantu meringankan bebanan mereka.
"Duit ini saya akan guna untuk acara makan besar bersama keluarga, sambut anak cucu untuk sama-sama raikan Gong Xi Fa Chai," katanya.
Tan Kok Keong, 28, anak kepada Leng Sei yang turut menerima bantuan itu berkata ia akan digunakan bagi membeli kelengkapan sambutan perayaaan Masyarakat Tiong Hua itu yang akan disambut pada 10 Feb ini.
Turut menerima BR1M 2.0 pada hari ini ialah kira-kira 300 masyarakat India di kawasan yang sama.
Sementara itu, Adun Sungai Air Tawar Datuk Raja Ideris Raja Ahmad berkata kesemua mereka adalah merupakan antara 3,612 penerima yang terpilih bagi BR1M 2.0 fasa 1 di kawasan berkenaan.
"Kita memang memilih untuk memberi bantuan kepada masyarakat Cina terlebih dahulu bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina," katanya.
Beliau berkata baki 2,516 penerima lagi akan diberikan pada 16 dan 17 Feb ini.