400,000 hektar ladang sawit seluruh negara berpotensi untuk tanaman kenaf

Abd Razak Mohd Ali
April 22, 2021 17:09 MYT
Tanaman kenaf sesuai diusahakan ketika sawit dalam proses pembesaran iaitu sekitar dua tahun. - Gambar/ Bernama
PARIT: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menganggarkan sekitar 400,000 hektar ladang sawit di seluruh negara berpotensi untuk diusahakan dengan tanaman kenaf secara intergrasi.
Menterinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata ia berdasarkan 1.5 juta daripada 6.5 juta hektar ladang sawit yang perlu ditanam semula.
Menurutnya, tanaman kenaf sesuai diusahakan ketika sawit dalam proses pembesaran iaitu sekitar dua tahun.
“Setiap hektar kita boleh menghasilkan sekitar 10 tan bekalan kenaf, bayangkan dengan 400,000, sudah ada empat juta tan.
“Setakat ini kita mensasarkan 20,000 tan pada tahun ini berbanding 10,000 tan tahun lalu,” katanya.
Beliau ditemui ketika program lawatan dan gimik penuaian kenaf Ladang Rakyat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Ladang Lambor, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria; Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, kerajaan menggalakkan pekebun kecil menceburi industri kenaf dengan menyediakan geran dalam bentuk input dan benih sebanyak RM2,385 seorang perhektar, di samping jaminan pasaran.
“Dari segi pasaran, LKTN membeli daripada pekebun kecil, bererti pasaran sudah sedia kerana kita memerlukan bekalan,” ujarnya.
Menurut Mohd Khairuddin, bekalan kenaf masih tidak mencukupi kerana pasarannya sangat besar termasuk untuk digunakan dalam pembuatan tilam, makanan binatang dan bahan pembinaan.
Dalam pada itu, katanya kementerian mengalu-alukan cadangan PPPNP untuk membina kilang kenaf di negeri ini, sebagai tambahan kilang yang ada di Kelantan dan Pahang.
#kenaf #ladang sawit #seluruh negara #tanaman kenaf #Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #Mohd Khairuddin Aman Razali
;