40 rumah dinaiki air, 72 mangsa banjir kilat Simpok ditempatkan di PPS

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 3, 2023 09:30 MYT
Proses pendaftaran mangsa banjir di PPS SK St Peter, Simpok. -Astro AWANI
SERIAN: Enam kanak-kanak antara 72 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK St Peter, Simpok, di sini, hari ini.
PPS tersebut satu-satunya pusat pemindahan yang dibuka selepas hujan berterusan selama 24 jam di sekitar daerah Siburan mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dan dilanda banjir kilat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata PPS tersebut dibuka seawal jam 6 pagi melibatkan 40 kediaman di Kampung Simpok.
“Terdapat 40 buah rumah telah dinaiki air di Kampung Simpok dalam ketinggian 1/2 kaki mengakibatkan beberapa terpaksa berpindah.
“Laluan ke Kampung Simpok tidak dapat dilalui disebabkan terputus hubungan, sementara trend air di kawasan berkenaan masih menaik,” jelas JPBNS.
Sekurang-kurangnya empat lokasi di Padawan dan Samarahan ditenggelami banjir kilat setelah hujan lebat turun tanpa henti lebih tiga jam di Kuching dan Samarahan.
Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Simpok dan Kampung Mundai (Serian) manakala di Samarahan, melibatkan Taman Samarindah, Taman Muara Tuang dan Taman Unigarden.
#banjir #SK St Peter Simpok #Kampung Simpok #Padawan dan Samarahan
;