40 rakyat Malaysia berjaya tamat pengajian program Anugerah Biasiswa Chevening di UK

Bernama
Februari 10, 2023 11:30 MYT
Charles Hay berkata kumpulan pelajar bagi Program Pascasiswazah Anugerah Biasiswa Chevening 2021/2022 yang kembali ke tanah air adalah bukti hubungan akrab antara UK dan Malaysia dalam bidang pendidikan. -Gambar fail/BMCC
KUALA LUMPUR: Seramai 40 rakyat Malaysia berjaya menamatkan program pengajian pascasiswazah di bawah Anugerah Biasiswa Chevening di United Kingdom (UK) dengan beberapa orang daripada mereka meraih pencapaian cemerlang sepanjang pengajian di negara itu tahun lepas.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay berkata kumpulan pelajar bagi Program Pascasiswazah Anugerah Biasiswa Chevening 2021/2022 yang kembali ke tanah air adalah bukti hubungan akrab antara UK dan Malaysia dalam bidang pendidikan.
"Selepas setahun belajar di UK, mereka kembali ke Malaysia berbekalkan kemahiran, pengetahuan dan rangkaian global untuk melakukan perubahan yang positif serta berkekalan dalam pelbagai sektor dan komuniti.
"Seramai 30 daripada mereka yang berada di sini hari ini telah mengikuti pengajian dalam pelbagai kursus," katanya pada majlis menyambut kepulangan kumpulan itu di sini pada Khamis.
Beliau juga berkata Anugerah Biasiswa Chevening adalah contoh terbaik komitmen berterusan UK dalam membantu pemimpin masa depan Malaysia untuk mengikuti pendidikan bertaraf dunia di negara itu.
"Saya berasa bangga untuk berkongsi di sini bahawa kami telah menerima lebih 700 permohonan bagi Anugerah Biasiswa Chevening di Malaysia pada tahun ini dan akan menemu bual mereka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Sementara itu, seorang pelajar pascasiswazah Lim Ming Yao yang mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Kesihatan Awam berkata program itu mencipta ruang dan peluang untuk mereka bertemu serta membina rangkaian dengan rakyat dari pelbagai negara dan latar belakang.
"Sepanjang tempoh pengajian, saya telah bertemu beberapa pelajar pascasiswazah dalam program sama seperti doktor gigi dari Palestin, jurutera dari Iraq serta ramai lagi yang membolehkan saya meluaskan lagi perspektif terhadap dunia selain mendalami pemahaman saya berkaitan pelbagai budaya," katanya.
-- BERNAMA
#United Kingdom #program pengajian pascasiswazah #Anugerah Biasiswa Chevening #Charles Hay
;