40 peratus tenaga kerja tiada perlindungan persaraan, pencen - CEO KWSP

Umavathi Ramayah
Mac 3, 2024 16:14 MYT
Ahmad Zulqarnain berkata jumlah itu dilihat masih rendah dan membimbangkan berbanding kadar purata liputan global pada 68 peratus. -Foto KWSP
SUNGAI BULOH: Hanya 60 peratus daripada 17 juta tenaga kerja tempatan mendapat perlindungan persaraan di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Skim Pencen Perkhidmatan Awam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn, jumlah itu dilihat masih rendah dan membimbangkan berbanding kadar purata liputan global pada 68 peratus.
"Majoriti tenaga buruh yang tidak dilindungi ini adalah tenaga pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan mereka yang bekerja sendiri seperti pekerja gig," katanya pada taklimat prestasi kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain memberitahu, 4.1 juta pekerja yang bekerja dalam sektor tidak formal terdiri daripada tiga juta pekerja bekerja sendiri, 582,000 peniaga dan 494,000 pekerja dalam kalangan keluarga yang tidak dibayar upah.
Melihat pada trend peningkatan drastik dalam sektor gig, beliau menjangkakan jumlah tenaga kerja dalam sektor tidak formal akan meningkat kepada 33 peratus menjelang tahun 2040, berbanding jumlah semasa 26 peratus.
Sementara itu, katanya, pekerja dalam sektor formal pula dijangka menyusut daripada 42 peratus pada 2023 kepada 37 peratus pada 2040.
Beliau memberitahu, keadaan itu mencetus kebimbangan memandangkan Malaysia dijangka mencapai status negara tua atau aged nation menjelang 2043 dan super aged nation pada 2057.
"Kadar kelahiran yang menurun iaitu 1.6 peratus pada tahun 2023 juga akan merancakkan kepantasan negara ke arah mencapai status negara tua.
"Pada 2043, dianggarkan 14 peratus atau 39.9 juta penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas manakala kadar kelahiran menurun kepada 6.6 juta bayi," jelasnya.
Ahmad Zulqarnain menjelaskan, berdasarkan unjuran, kadar penuaan di Malaysia berlaku dengan lebih pantas berbanding negara-negara maju lain termasuk United Kingdom, Australia dan Perancis.
Situasi itu, katanya, memerlukan kerajaan untuk lebih bersedia untuk menyediakan infrastruktur, perkhidmatan dan pekerjaan bagi menyokong fenomena itu.
"Jika dilihat pada nisbah kebergantungan ibu bapa kepada anak-anak juga akan semakin meningkat.
"Pada tahun 2023, nisbah 100 anak kepada ibu bapa adalah 100:44. Ini bermakna 100 orang anak perlu menjaga 44 ibu bapa.
"Namun nisbah ini dijangka meningkat kepada 100:62 pada 2060," jelasnya.
Dalam masa sama, tambahnya, negara juga akan menyaksikan penurunan kutipan cukai sehingga 9 peratus susulan angka warga tua mengatasi jumlah tenaga kerja.
Seterusnya, kata beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan menyaksikan penyusutan sehingga 5.5 peratus bagi setiap peningkatan 10 peratus populasi rakyat berusia 60 tahun.
#Keluaran Dalam Negara Kasar #KWSP #pekerja tidak formal #gig
;