40 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi - FOMCA

Anthea Yap
Januari 2, 2017 21:47 MYT
MOHD. YUSOF: Lebih 30 sehingga 40 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi. - Gambar fail
Lebih 30 ke 40 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi sekali gus bakal memberi kesan kepada mereka sekiranya berdepan situasi sukar sama ada berpunca kegawatan ekonomi atau kecelakaan yang tidak diduga.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tidak ramai rakyat negara ini bersedia dari segi kewangan bagi menampung perbelanjaan jangka pendek sekiranya hilang pekerjaan.
"Ini menyebabkan mereka kehabisan wang simpanan dalam tempoh singkat. Saya ingat dalam 30 sehingga 40 peratus memang tidak langsung membuat persiapan menghadapi keadaan kecemasan seperti persiapan untuk persaranan atau persiapan untuk kecemasan.
"Ini adalah kajian yang pernah dibuat pihak FOMCA dan juga kajian itu turut dibuat oleh pihak lain", katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Jelasnya, bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, rakyat di negara ini juga disaran menguruskan hal kewangan dengan baik.
"Antaranya membuat simpanan bagi tempoh sekurang kurangnya tiga sehingga enam bulan. Tiap-tiap bulan bila kita menerima pendapatan gaji, kita sepatutnya awal-awal lagi memperuntukkan lima sehingga 10 peratus daripada pendapatan kita untuk simpanan.
"Dari situ kita bahagikan iaitu lima peratus, simpanan untuk dana kecemasan dan lima peratus pula untuk jangka masa sederhana dan jika wang itu disimpan maka ia sudah dapat membolehkan kita selamat", katanya.
Sementara itu, Mohamad Yusof turut menggesa kerajaan campur tangan dalam memastikan penyedia perkhidmatan tidak menaikkan harga yang akan membebankan pengguna sehingga keadaan ekonomi bertambah pulih.
"Kerajaan kalau boleh dapat menangguhkan kos permintaan kenaikan harga daripada pihak tertentu seperti harga tol, harga tambang bas dan tambang pengangkutan awam.
"Kalau terdapat juga permintaan ini, kita memohon agar kerajaan dapat menangguhkan buat sementara waktu permintaan mereka sehingga keadaan ekonomi pulih di negara ini", katanya.
FOMCA menjangkakan kos sara hidup pada tahun ini akan terus meningkat berikutan peningkatan harga barangan dan nilai mata wang negara rendah.
#Fomca #Mohd. Yusof Abdul Rahman #simpanan
;