40 peranti satelit Starlink tingkat capaian internet IPT - PM Anwar

Sinar Harian
Julai 15, 2023 09:04 MYT
Perdana Menteri (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) melihat sebahagian produk usahawan pada perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Sungai Petani hari ini. - Foto BERNAMA
SUNGAI PETANI: Kerajaan bercadang memasang 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membantu menaik taraf capaian internet lebih baik di kampus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk pada Jumaat.
Menurutnya, IPT diberi keutamaan oleh kerajaan selepas menerima aduan daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.
"Saya melawat universiti dan mendengar rungutan daripada pelajar yang bertanya, 'Dato Seri, bagaimana kita boleh belajar sedangkan internet perlahan'.
“Jadi apabila Elon Musk bercakap dengan saya, saya beritahu Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) semalam untuk beli (peranti Starlink) dengan segera dan kita akan pasang di mana saja universiti yang perlu.
"Elon kata dia boleh berikan kita 40 peranti. Dia juga memberi jaminan semalam bahawa jika kita memerlukan lebih banyak unit, kita juga boleh beli untuk pemasangan di kawasan luar bandar," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Amanjaya, dekat sini.
Jelas Anwar lagi, peranti satelit itu juga bakal diperluaskan di kawasan luar bandar bagi membantu usahawan luar bandar.
"Tetapi kita mulakan dengan universiti, politeknik, dan sekolah (terlebih dahulu) yang memerlukan akses internet.
"Peranti ini kecil tetapi ia boleh menukar sambungan internet yang perlahan kepada sambungan segera. Jika tiada internet di sini, ia akan menyediakan internet kerana ia dipautkan secara langsung kepada satelit," ujar beliau lagi.
Tambahnya, pelaburan orang terkaya dunia itu di Malaysia adalah berdasarkan kepercayaan syarikat berkenaan dengan kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara ini.
"Dia tahu saya mengetuai kerajaan yang stabil. Dia tahu Anwar, bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memastikan kerajaan yang kukuh dan jelas dasar ekonomi.
“Beliau mahu tahu ke mana hala tuju kita, keutamaan kita iaitu ekonomi luar bandar, keselamatan makanan dan ekonomi digital," kata Anwar. -- Sinar Harian
#Capaian internet #Anwar Ibrahim #IPT #Elon Musk #Starlink