40 mahasiswa UIS lawat Parlimen
Astro Awani
November 3, 2023 11:00 MYT
November 3, 2023 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam usaha memupuk kesedaran dan peningkatan literasi mengenai sistem pemerintahan negara iaitu demokrasi berparlimen, 40 mahasiswa Universiti Islam Selangor (UIS) mengadakan sesi lawatan ke Parlimen, baru-baru ini.
Dalam siri lawatan ini, para mahasiswa berpeluang menyaksikan sesi soal jawab dan perbahasan sewaktu mesyuarat ketiga penggal kedua di Dewan Rakyat.
Mahasiswa juga berpeluang melihat gambaran sebenar suasana perbahasan, susun atur kedudukan Ahli Dewan Rakyat, protokol perjalanan perbahasan dan peranan para petugas Dewan Rakyat termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Rakyat, Bentara Mesyuarat, Bentara Parlimen, Pelapor, dan lain-lain.
Mahasiswa Sarjana Muda al-Quran dan as-Sunnah dengan Komunikasi tahun akhir yang menganjurkan inisiatif lawatan ini sebagai projek akhir kursus yang memfokus kepada salah satu komponen Komunikasi Korporat iaitu hubungan dengan kerajaan.
Dalam sesi yang sama, kumpulan mahasiswa ini turut disantuni oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq bin Johari.
Beliau memberikan reaksi yang positif terhadap kebimbangan mahasiswa berkaitan kebolehpasaran graduan dalam sembang santai di ruang legar Parlimen.
“Beberapa peruntukkan telah diumumkan sempena Belanjawan 2024 baru-baru ini yang melibatkan golongan muda; tetapi apa yang menjadi keprihatinan kerajaan adalah untuk menaikkan kadar gaji minimum untuk graduan bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda,” kata Dr Mohammed Taufiq.
Dalam masa sama, beliau menyokong keprihatinan kerajaan yang menurutnya sebagai sangat rasional memandangkan kadar gaji minimum masa kini sudah tidak lagi relevan dengan kos sara hidup semasa dan perlu distrukturkan semula.
Sementara itu, peluang berdialog bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda memberi peluang kepada mahasiswa UIS menyuarakan pendirian jelas dalam usaha menyokong keadilan, keamanan dan kedaulatan umat Islam Palestin dan Semenanjung Gaza.
Mahasiswa UIS juga menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang jelas menolak kezaliman dan penindasan tentera Israel yang tidak bermoral dan tidak mempunyai perikemanusiaan sejagat.
Para mahasiswa turut disantuni melalui sesi bual mesra yang menumpukan soal ketenteraan, keselamatan dan pertahanan siber di Malaysia, misi bantuan ke Palestin khususnya di Semenanjung Gaza serta peluang pekerjaan lepasan universiti.
Dalam sesi yang sama, Timbalan Menteri Pertahanan turut memberikan sokongan dan motivasi agar mahasiswa terus menimba ilmu pengetahuan, mengenal pasti dan mengasah potensi diri dan berterusan dalam meningkatkan kemahiran insaniah dan pelbagai kemahiran teknikal serta kecekapan diri.
Mahasiswa UIS juga telah diberi peluang melawat ke Pusat Media Parlimen Malaysia bagi menyaksikan sendiri gerak kerja para pengamal media yang menjalankan kerja-keja pengumpulan dan pelaporan berita.
Peranan wartawan sangat diberi perhatian utama oleh Parlimen Malaysia dan menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat yang enar dan tepat kepada rakyat Malaysia.
Penyelaras Pusat Media Parlimen, Muhamad Zhafry Hakim Abu Khair memberikan taklimat ringkas dan padat berhubung operasi Pusat Media Parlimen, prosedur kerja dan profesionalisme dalam hubungan dengan pihak media dan kerajaan.
Sementara itu, Pensyarah Komunikasi Fakulti Pengurusan dan Muamalah UIS, Rahmahtunnisah Sailin berkata, lawatan ini merupakan projek akhir pelajar bagi kursus Komunikasi Korporat yang secara khusus menumpukan kepada komponen amalan hubungan dengan kerajaan.
Mahasiswa, katanya, berjaya berurusan dengan baik dengan pihak Parlimen dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ajar Demokrasi dalam melaksanakan projek lawatan ini.
“Kesediaan Timbalan Menteri Pertahanan dan dua orang Ahli Parlimen bagi sesi dialog dan bual mesra, merupakan nilai tambah yang berjaya dicapai oleh kelompok mahasiswa ini,” kata Rahmahtunnisah.
#Universiti Islam Selangor
#mahasiswa UIS
#Parlimen
#Pensyarah Komunikasi Fakulti Pengurusan dan Muamalah UIS