40 kedai musnah, rosak kebakaran pasar lama Chow Kit
Bernama
Oktober 9, 2015 12:03 MYT
Oktober 9, 2015 12:03 MYT
Kira-kira 40 kedai di pasar lama Chow Kit musnah atau mengalami kerosakan dalam kebakaran tengah malam tadi.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata ia melibatkan antara lain kedai menjual barangan kering, bunga hiasan dan lain-lain.
Sejurus panggilan kecemasan diterima pada 12.26 tengah malam, sekumpulan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat cawangan Titiwangsa, Hang Tuah, Sentul dan Sri Hartamas dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.
"Api dipadamkan sepenuhnya pada 3.07 pagi," katanya kepada Bernama.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.