40 kawasan di Gombak alami gangguan bekalan air

Astro Awani
Ogos 4, 2023 12:15 MYT
Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Air Selangor memaklumkan hari ini pihaknya sedang melaksanakan kerja-kerja kecemasan pembaikan injap di Jalan Kuching, Gombak, yang terjadi susulan kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Kemalangan itu mengakibatkan kejadian injap pecah, bagaimanapun kerja-kerja pembaikan injap bermula pagi ini dan dijangka siap jam 2 petang ini.
"Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 40 kawasan di Wilayah Gombak bermula jam 7:30 pagi, 4 Ogos 2023 (Jumaat).
"Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap pada jam 2 petang, pada hari yang sama.
"Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 3 petang, 5 Ogos 2023 (Sabtu)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurutnya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden tersebut dan senarai kawasan yang terjejas dari semasa ke semasa menerusi semua medium, khususnya media massa.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 untuk maklumat lanjut.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
#gangguan bekalan air #Gombak #kerja-kerja pembaikan injap #Jalan Kuching
;