40 bot nelayan asing dilupuskan jadi tukun tiruan

Nur Fazlizai Ali
Ogos 17, 2022 08:00 MYT
Sejak 2010 sehingga kini sebanyak 144 bot nelayan asing yang dilucut hak telah dilupuskan dengan dijadikan tukun tiruan. - Astro AWANI
KUALA NERUS: Sebanyak 40 buah bot akan ditenggelamkan di sepanjang perairan Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan selepas mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kaedah penenggelaman bot-bot nelayan asing sebagai tukun tiruan merupakan inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin.
Katanya, ia juga simbol kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.
Muhammad Suffi berkata, sejak 2010 sehingga kini sebanyak 144 bot nelayan asing yang dilucut hak telah dilupuskan dengan dijadikan tukun tiruan.
Jelasnya pelupusan itu melibatkan anggaran jumlah rampasan RM216 juta dengan majoritinya adalah bot Vietnam.
Katanya jumlah itu termasuk 17 buah bot yang telah dilupuskan tahun ini dengan cara sama dan musnah hancur di sekitar Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Bidong.
Justeru, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.
Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.
#Tukun Tiruan #bot #Muhammad Suffi Mohd Ramli #nelayan asing
;