4 trend ini buktikan Malaysia sudah dalam 'Normal Baharu'

Shafizan Johari
Mei 7, 2020 07:00 MYT
Ini empat contoh yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah berjaya beradaptasi dalam usaha memerangi ancaman wabak COVID-19. Foto Bernama
SEDAR atau tidak, COVID-19 sudah banyak mengubah cara kita bekerja, belajar dan bermain.
Selain mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan tangan dan pemakaian pelitup muka, ada beberapa lagi contoh ketara yang membezakan suasana sebelum dan semasa penularan jangkitan koronavirus SARS-CoV-2.
Ini empat contoh yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah berjaya beradaptasi dalam usaha memerangi ancaman wabak COVID-19.
1. Transaksi dalam talian, termasuk untuk cari rumah sewa
Banyak syarikat yang sebelum ini berurusan secara fizikal dengan orang ramai kini beralih kepada kaedah digital.
Jika dahulu pelanggan perlu hadir ke premis untuk mengalami sendiri tawaran perkhidmatan oleh peniaga, kini penjualan secara dalam talian jadi pilihan.
Jika anda terfikir, penjualan barangan sahaja boleh dilakukan secara maya, jangkaan anda mungkin meleset.
Speed Home umpamanya menawarkan pameran hartanah secara maya dan semua urus niaga boleh dilakukan secara dalam talian.
2. Dulu seminar, kini webinar
Webinar bukan perkara baharu, malah teknologinya sudahpun lama berada di pasaran.
Bagaimanapun COVID-19 memaksa semua pihak yang mahu menganjurkan sebarang acara atau seminar untuk melakukannya secara dalam talian.
Astro AWANI sendiri baru-baru ini menganjurkan webinar yang dihadiri peserta dari seluruh negara.
Trend tidak terhad kepada penganjuran berskala besar sahaja, malah saban hari sudah semakin ramai pihak yang selesa menganjurkan acara secara dalam talian.
3. Tidak perlu ke klinik, doktor kini di rumah anda - secara maya
Portal 'Doctor On Call' umpamanya bukan sahaja membantu orang ramai membuat diagnosis secara dalam talian, malah ubat-ubatan juga boleh dibeli menerusi portal berkenaan.
Ini dapat membantu meminimumkan interaksi fizikal di antara pesakit dan juga doktor atau pakar perubatan.
4. Warung berpusat menggantikan penjaja jalanan
Penutupan warung dan gerai memaksa mereka bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyambung punca rezeki.
Grab e-Kitchen dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, umpamanya, menyediakan peluang kepada peniaga bazar Ramadan untuk meneruskan perniagaan mereka.
Malah lebih mengejutkan, ada kalangan peniaga yang mengakui pendapatan mereka lebih tinggi berbanding jualan secara konvensional.
#COVID-19 #doktor maya #Grab e-Kitchen #koronavirus #normal baharu #peniaga #penjaja jalanan #perniagaan secara dalam talian #perubatan #rakyat Malaysia #Ramadan #webinar
;