4 termasuk kanak-kanak maut ditembak dalam insiden keganasan rumah tangga di AS

Bernama
April 10, 2023 13:17 MYT
Jabatan Polis Orlando mengenal pasti suspek sebagai Lacorvis Tamar Daley, 28, namun identiti mangsa tidak didedahkan kepada umum. - Gambar hiasan
WASHINGTON: Empat orang termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam insiden keganasan rumah tangga di Orlando, Amerika Syarikat awal pagi Ahad.
Jabatan Polis Orlando menerima panggilan mengenai kejadian itu di kejiranan Parramore pada kira-kira 2.28 pagi, lapor United Press International (UPI) memetik NBC News.
Pegawai yang berada di tempat kejadian mendengar tembakan dilepaskan dari dalam rumah. Suspek kemudian keluar dan bertempur dengan pegawai.
Pada taklimat media, ketua polis Eric Smith berkata suspek berjaya ditahan dan meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.
Polis menemukan dua dewasa maut ditembak manakala seorang kanak-kanak dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia sebaik tiba.
Jabatan Polis Orlando mengenal pasti suspek sebagai Lacorvis Tamar Daley, 28, namun identiti mangsa tidak didedahkan kepada umum.
Dua pegawai yang terlibat dalam insiden itu diberikan cuti bergaji yang merupakan peraturan biasa bagi kes-kes tembakan yang melibatkan pegawai.
Jabatan Penguatkuasaan Undang-undang Florida akan menyiasat kejadian itu dan menyemak rakaman kamera badan, kata Jabatan Polis Orlando dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #kes tembakan #keganasan rumah tangga #kanak-kanak maut
;