4 termasuk 3 beradik ditemui lemas dihanyutkan ombak

Junaidi Ladjana
Jun 1, 2021 23:37 MYT
Difahamkan empat mangsa serta empat lagi rakan yang semuanya berusia antara lapan hingga 17 tahun pergi ke pantai berkenaan untuk mandi-manda, petang tadi. - Gambar/ Astro AWANI
PUTATAN: Keseronokan tiga beradik bersama seorang saudara mandi di laut bertukar tragedi apabila mereka ditemui lemas di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh di sini, malam ini.
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemui pada jam 8.20 malam sebelum Rafidah, 14, ditemui kira-kira 40 minit selepas itu. Adik mereka, Korais, lapan tahun, ditemui kira-kira jam 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan.
Sementara itu, seorang saudara mereka, Dalang, 17, turut ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian pada jam 9.30 malam.
Terdahulu, difahamkan mereka serta empat lagi rakan yang semuanya berusia antara lapan hingga 17 tahun pergi ke pantai berkenaan untuk mandi-manda kira-kira jam 5 petang tadi.
Bagaimanapun, ketika mahu pulang, keempat-empat mereka yang cuba berenang ke tepi pantai hilang dihanyutkan ombak, manakala empat lagi yang lain dapat menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tubuh mereka ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
"Semua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Berikutan penemuan semua mangsa kejadian ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta-merta.
“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana kejadian itu berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.
Mohd Haris berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
#lemas #Kanak-kanak #remaja #Putatan #Sabah #empat maut #empat beradik #4 beradik
;