4 suspek kes culik Ng Mun Tat didakwa di mahkamah
Astro Awani
Julai 22, 2013 14:46 MYT
Julai 22, 2013 14:46 MYT
Berhubung kes penculikan Ng Mun Tat, Jabatan Peguam Negara (JPN) membuat keputusan untuk menuduh kesemua empat suspek yang ditangkap bersama dua orang lagi yang masih bebas di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961.
“Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan tersebut bermula hari ini dan kes ini seterusnya akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Mangsa Ng Mun Tat, 21, seorang penganggur dilaporkan ditemui di KM4.5 Lebuh Raya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa dalam keadaan bogel dengan badannya diconteng pada hari tersebut.
Menceritakan kembali kejadian, Ng berkata beliau dibawa keluar oleh dua lelaki dari sebuah restoran di Taman Seri Muda Shah Alam pada pukul 4.30 pagi semasa sedang minum bersama teman wanita serta seorang rakannya dan diculik dengan sebuah kenderaan.
Kemudian beliau yang ditutup matanya dibawa ke sebuah pangsapuri dan dipukul sementara seorang penculik menghubungi abang iparnya, Mak Wui Weng, 29 untuk meminta wang tebusan sebelum dibawa ke beberapa buah bank untuk mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM.
Bagaimanapun, para penculik gagal mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM disebabkan Ng terlupa akan nombor pin kad ATMnya.
Mak berkata selepas penculiknya gagal mengeluarkan wang dari mesin ATM, adik iparnya dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit yang tidak diketahui lokasinya.
Di sana Ng dipukul lagi, dipaksa menghidu gam serta ditelanjangkan dan tubuhnya diconteng dengan perkataan "SAYA HINA AGAMA ISLAM" supaya adik iparnya takut melarikan diri kerana perkataan yang diconteng boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.
Mak berkata Ng berjaya melarikan diri ketika kumpulan penculik terbabit sedang khayal menghidu gam.
Sebelum ini empat lelaki dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes culik Ng.