4 rentung, 1 hilang dalam kebakaran di Rapid Pengerang

Astro Awani
Mac 16, 2020 12:20 MYT
Empat ditemui rentung, seorang lagi masih hilang dalam kebakaran malam tadi. -Foto JBPM
Empat ditemui rentung, seorang lagi masih hilang dalam kebakaran melibatkan diesel hydrotreater unit di Pengerang, dekat sini, malam tadi.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pauzan Ahmad, seorang mangsa selamat manakala seorang lagi didapati 70 peratus melecur dalam kebakaran kira-kira 10.50 malam.
"Terdapat tujuh orang mangsa yang terlibat, seorang mangsa keluar sendiri dikenali sebagai Mohd Saiful Amat, seorang lagi cedera dikenali sebagai Arnado Alexander," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Identiti mangsa yang dipercayai rentung dan hilang adalah Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor, Che Huzaidy Che Harun dan Hadi Syafiq Jamil.
Setakat 11.15 pagi ini, operasi masih dijalankan melibatkan 33 anggota JBPM dan sembilan jentera dan dibantu 37 anggota Central Emergency & Fire Services (CEFS) Pengerang dan lapan jentera.
Kebakaran berkenaan turut disahkan Petronas Refinery and Petrochemical Corporation.
Menurut PRefChem, satu letupan dan kebakaran berlaku pada 15 Mac di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang, pada jam 10.50 malam.
BACA: Petronas sahkan insiden letupan, kebakaran di Rapid Pengerang
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #mangsa rentung #Petronas #Petronas Refinery and Petrochemical Corporation
;