4 rakyat Malaysia selamat dalam insiden bot karam di Vietnam

Bernama
Jun 5, 2016 23:53 MYT
Kementerian Luar mengesahkan bahawa bot berkenaan telah karam di Sungai Han kira-kira 850km dari bandar Ho Chi Minh, kira-kira 8.30 malam. -Gambar hiasan
Empat rakyat Malaysia yang terlibat di dalam insiden bot karam di Sungai Han, Da Nang, Vietnam semalam dilaporkan selamat.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini malam ini mengesahkan bahawa bot berkenaan telah karam di Sungai Han kira-kira 850km dari bandar Ho Chi Minh, kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan.
"Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh melaporkan setakat ini empat mangsa rakyat (Malaysia) telah dikenal pasti dan dilaporkan selamat," katanya.
Menurut Wisma Putra, tiga daripada mangsa yang terlibat iaitu Leow Kim Hin, Pong Kee Juat dan Ding Swee Yoke telah kembali ke Malaysia, manakala seorang lagi mangsa iaitu Ong Tah Fatt masih dirawat di hospital.
Katanya Konsulat Jeneral Malaysia masih memantau situasi ini dari semasa ke semasa.
#bot karam #Da Nang #Kementerian Luar #Leow Kim Hin #Pong Kee Juat #Sungai Han #Vietnam
;