4 rakyat Malaysia di Lubnan selamat tiba di KLIA, seorang lagi petang ini - Wisma Putra
Amirul Aiman
Oktober 4, 2024 10:10 MYT
Oktober 4, 2024 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia telah melaksanakan proses evakuasi rakyatnya dari Lubnan berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Wisma Putra memaklumkan, empat warga Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pagi ini, sementara seorang lagi dijangka tiba petang nanti.
“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah memudah cara pelepasan mereka dari Beirut melalui pesawat komersial," katanya.
Tambah Wisma Putra, pihak Kementerian Luar Negeri juga sedang berusaha memastikan baki 16 rakyat Malaysia bersama keluarga mereka dapat dipindahkan dengan selamat.
Kementerian Luar Negeri turut menegaskan komitmennya untuk melindungi keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Lubnan.
Dalam masa sama, Kedutaan Malaysia di Beirut terus memantau perkembangan semasa serta menyediakan bantuan yang diperlukan.
Tags: Malaysia, Lubnan, evakuasi, Asia Barat, Wisma Putra, keselamatan